Pada 24-26 September 2017 sempena Festival Jabatan Sastera Ikhtisas tahun 2017, Unit Kemahiran Dinamika telah mengadakan pameran sepanjang 3 hari di Anjung Sri Johor, Kolej Matrikulasi Johor.

Bagi pameran pada tahun ini pihak unit membawakan tema “Kami Bersamamu” dengan menjemput 4 agensi untuk memeriahkan pameran tahun ini. Antara agensi yang turut bersama   pada pameran kali ini  ialah Hospital Tangkak dengan mengadakan simulasi CPR, simulasi bantuan kecemasan apabila menghadapi situasi tercekik, dan kempen derma organ. Pihak Pos Malaysia turut mempromosikan setem wajah sendiri, yang mana para pengunjung boleh mengabadikan foto mereka untuk dijadikan setem. Para pengunjung juga didedahkan dengan pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh pihak Pos Malaysia termasuk perkhidmatan penulisan wasiat.

 
 


Manakala Jabatan Penerangan amat membantu dengan memberikan penerangan tentang dasar-dasar kerajaan yang terkini, penerangan tentang penyebaran berita palsu dan pelbagai maklumat dan persoalan oleh pengunjung tentang dasar-dasarkerajaaan dapat diajukan kepada pegawai yang hadir. Pihak Jabatan Penerangan juga bermurah hati dengan menyediakan hadiah kepada pengunjung yang berjaya menjawab soalan yang dikemukakan. Para pengunjung rata-rata berpuas hati kerana ilmu dapat, hadiah pun dapat.

 


Jabatan Pendaftaran Negara, di bawah Kementerian Dalam Negeri turut hadir dengan menawarkan perkhidmatan penukaran kad pengenalan yang terkini. Semua warga KMJ seperti pelajar, pensyarah, staf, mengambil peluang ini untuk mendapatkan kad pengenalan terkini tanpa perlu ke Jabatan Pendaftaran Negara yang terdekat. Pihak JPN juga mengadakan pameran tentang evolusi sijil lahir dan kad pengenalan di Malaysia serta menyediakan slot soal jawab tentang isu-isu yang melibatkan kelahiran, pengangkatan, perkahwinan, kewarganegaraan dan kematian kepada para pengunjung.


Para pengunjung juga tidak hanya tertumpu kepada pameran yang disediakan, para pengunjung dapat menjalani 4 aktivti yang disediakan oleh pihak Unit. Antara 4 aktiviti yang disediakan ialah, Aku, pentas dan spotlight, aktiviti kedua 1,2,3 lekuk, aktivti ketiga kanan, kiri, kiri kanan, dan aktiviti keempat Merdeka! Merdeka! Merdeka!