Assalamualaikum dan salam sejahtera,
 
Tuan/Puan,
 
B.MATRIKULASI - PELAKSANAAN TENDER PERKHIDMATAN KEBERSIHAN BANGUNAN DAN KAWASAN (KBK) KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA (KPM) BAGI TAHUN 2024 
 
Dengan segala hormatnya saya diarah merujuk kepada perkara di atas.
 
2.     Sepertimana pihak tuan/puan sedia maklum, Bahagian Perolehan (BPL), KPM sedang dalam proses melaksanakan perolehan tender perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) yang baharu bagi tahun 2024 untuk semua kontrak di sekolah/institusi pendidikan yang dijangka akan tamat pada bulan Ogos hingga November tahun 2024. Susulan daripada itu, pengiklanan bagi tujuan penawaran tender kepada pembekal perkhidmatan KBK ini dijangka akan dibuat bermula pada 3 Januari 2024 dan tamat tempohnya pada 24 Januari 2024. Bersama-sama ini juga dikemukakan slaid penerangan dan cadangan jawapan soalan lazim (FAQ)mengenai tender KBK berkenaan (slaid penerangan tender ini berserta FAQ juga boleh didapati dalam dokumen tender yang diiklankan kepada pembekal).
 
3.     Untuk makluman pihak tuan/puan juga, sepanjang tempoh proses tawaran tender (pengiklanan) ini, pembekal yang berminat juga adalah digalakkan untuk mengadakan lawatan tapak ke premis yang akan ditender tertakluk kepada kebenaran pentadbir premis yang berkaitan. Tarikh lawatan tapak yang ditetapkan bagi Kolej Matrikulasi Johor adalah seperti berikut : 
 
Tarikh : 15 & 16 Januari 2024
Masa : 10.30 pagi
Tempat : Balai Saujana, Kolej Matrikulasi johor
 
4.    Sehubungan dengan itu, sekiranya ada permintaan berkenaan perkara ini, pembekal hendaklah berurusan terus dengan pentadbir premis dan mendapatkan kelulusan terlebih dahulu. Tindakan pihak pentadbir premis adalah seperti berikut:
 
  • Pembekal hendaklah menghubungi dan mendapatkan kebenaran/kelulusan Ketua Jabatan di premis yang berkaitan terlebih dahulu sebelum hadir bagi mengadakan lawatan tapak;
    • Pembekal dikehendaki membawa bersama-sama sesalinan kad pengenalan dan sesalinan sijil perakuan pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk diserah dan didaftarkan apabila mengadakan lawatan tapak tersebut; (perkara ini dinyatakan dengan jelas di perenggan 3.2 dokumen tawaran tender yang dikeluarkan)
  • Sesi lawatan tapak tersebut hendaklah diiringi oleh mana-mana pihak yang dilantik oleh pentadbir premis; dan
  • Di sepanjang masa lawatan, pembekal hendaklah mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pentadbir premis.

 

5.     Kerjasama pihak tuan/puan juga dimohon untuk memanjangkan maklumat berkenaan sesi lawatan tapak ini kepada semua premis yang disenaraikan untuk ditender di bawah seliaan masing-masing. Dilampirkan juga slide penerangan tender untuk makluman pihak tuan.
 
 
6.     Perhatian pihak tuan/puan berhubung perkara ini amatlah dihargai dan didahulukan ucapan terima kasih.
Sekian.
 
"MALAYSIA MADANI"
"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"
 
Saya yang menjalankan amanah,
 

              T.T
Seksyen Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK)
Cawangan Perolehan Perkhidmatan (K)
Bahagian Perolehan
Kementerian Pendidikan Malaysia